Tuesday 28 February 2012

Bidalan

Bidalan adalah susunan bahasa yang menarik dan mudah 'melekat di mulut orang ramai'. Ia merupakan bahasa kiasan yang digunakan untuk melahirkan fikiran yang tajam, tepat, mengandungi perbandingan, teladan, pengajaran, nasihat, dan kata-kata hikmat.

Kamus Dewan edisi keempat (2007), bidalan merupakan kata-kata yang sering kali disebut dan yang mengandungi nasihat, peringatan dan sebagainya. Bidalan  termasuk dalam kiasan Melayu sejak dahulu lagi yang diamalkan dalam masyarakat Melayu ketika dalulu yang tergolong dalam peribahasa Melayu tradisional namun pada masa kini bidalan agak kurang di amalkan dalam kehidupan seharian. Bidalan juga merupakan susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran. Unsur ini penting di ketahui oleh masyarakat Melayu. Bidalan juga merupakan peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat seperti perumpaan, bidalan juga mempunyai maksud dua lapis. Bagaimanapun bidalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama. Menurut Abdullah Hassan, bidalan ialah pepatah atau peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Bidalan menggunakan perkataan-perkataan seperti hendaklah, jangan, biar, lebih baik, harus dan usah.

Menurut Muhammad Said (1992) pula dalam bukunya mengatakan bidalan itu cakapan terus dan kiasan bercampur, kadang-kadang cakapan itu berlapis seperti contoh ‘kata’ iaitu kerbau dipegang talinya, manusia dipegang katanya. Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap digunakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran. Pepatah juga merupakan perbilangan yang menggunakan kata bilangan.

Menurut Profesior Mohd. Taib Osman pula untuk memahami puisi Melayu lama termasuk bidalan, kita mesti menyedari bahawa ada daya cipta yang terkandung padanya, walaupun bentuk yang digunakan sudah ditentukan. Masyarakat Melayu lama adalah masyarakat yang mempunyai lapisan kemsyarakatan dan cara hidup masing-masing golongan itu mempunyai ciri-ciri perbezaan pula. Jelas, bidalan itu kata kiasan yang mempunyai makna yang tersirat dan menjadi teladan dan pengajaran untuk diikuti dan dihayati. Ia juga menunjukkan betapa orang Melayu begitu kreatif untuk menyampaikan sesuatu misalnya nasihat, kebijaksanaan, pengajaran atau isi hati dan perasaan jiwa mereka.  Bidalan juga memberi teguran dan pengajaran agar berhati-hati dalam kehidupan supaya tidak menyesal kemudian hati.

Bidalan juga mempunyai peranan yang sama sebagaimana puisi-puisi warisan Melayu yang lain baik dalam bahasa rasmi mahupun dalam kehidupan seharian mereka seperti untuk menegur, menyindir secara halus atau mengkritik. Di samping itu, peribahasa juga mendokong falsafah didaktisme yang tinggi dalam masyarakat Melayu zaman silam. Malah dalam masyrakat Melayu hari ini bidalan terus berperanan sebagai alat sindiran dan teguran yang amat praktikal dalam konteks mengkritik dan menegur dengan redha yang halus. 

Peribahasa bidalan juga tidak terkecuali diketengahkan dalam pendidikan di sekolah sama ada pada peringkat sekolah rendah, menengah rendah, menengah atas sehinggalah peringkat universiti. Bidalan harus diketahui oleh masyarakat kini agar tidak pupus ditelan zaman. Langkah memasukkan dalam pemebelajaran merupakan langkah yang cukup baik untuk terus menghidupkan peribahasa Melayu.     

Terdapat banyak koleksi bidalan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu.
Contoh bidalan:
  1. Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitkerja yang dimulakan hendaklah diselesaikan.
  2. Jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluhJangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal bertanya, pasti akan berjaya.
  3.  Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan didugaKalau tidak mahir dalam sesuatu bidang itu, akibatnya buruk.
  4. Ada gula ada semutorang akan berkumpul ditempat yang banyak mendatangkan rezeki.
  5.  Air yang tenang jangan disangka tiada buayajangan disangka orang yang pendiam itu atau tenang tidak berbahaya.
  6. Ada udang disebalik batumempunyai niat sesuatu disebalik pertolongan yang diberikan.
  7. Alah bisa tegal biasapekerjaan susah akan menjadi senang jika selalu dilakukan.
  8. Baik bawa resmi padi, jangan bawa resmi lalangkita hendaklah merendah diri dengan kelebihan yang dimiliki, bukan menjadi sombong.
  9. Belum duduk sudah belunjurmembuat sesuatu kerja yang belum sampai masanya.
  10. Bumi mana tidak ditimpa hujansetiap orang tentu pernah melakukan kesalahan.
  11. Biar genting jangan putus - lebih baik rugi kecil, jangan rugi besar.
  12. Besar periuk, besarlah keraknyasemakin besar pendapatan, semakin besar perbelanjaannya.
  13. Bertemu buku dengan ruasseseorang yang bertemu lawan yang sama kuat.
  14. biar tersengat, jangan tertiaraplebih baik menanggung sedikit kesusahan daripada terus menderita.
  15. Biar lambat asalkan selamatmembuat sesuatu kerja dengan berhati  - hati supaya sempurna.
  16. Jika kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga- Maksud lapis pertama jelas dan maksud lapis kedua merujuk orang yangs edikit ilmu dan pengalaman supaya tidak mencuba sesuatu yang rumit.

                         

Monday 27 February 2012

Simpulan Bahasa

CIRI-CIRI SIMPULAN BAHASA

1. Terbentuk daripada penggunaan kata nama am. Contohnya:
anak buah, buah tangan, dan lipas kudung.
Anak, buah, dan lipas masing-masingnya sebagai kata nama am.

2. Terbentuk daripada penggunaan kata kerja. Contohnya:
ajak-ajak ayam, buat bodoh, dan pasang telinga.
Ajak, buat, dan pasang masing-masingnya sebagai kata kerja.

3. Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif. Contohnya:
besar kepala, bodoh sepat, dan kecil hati.
Besar, bodoh, dan kecil masing-masingnya sebagai kata adjektif.

4. Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas. Contohnya:
Abu Jahal, Mat Jenin, dan Pak Kaduk.
Semua ini sebagai kata nama khas.

5. Terbentuk daripada nilai kepercayaan. Contohnya:
air pinang, batu buyung, dan makan bulan.
Semua ini ada kaitan dengan kepercayaan orang Melayu.

6. Simpulan Bahasa yang berkaitan dengan tubuh badan. Contohnya:
Gigi air, kepala santan, Hati batu, kecil hati, Kaki judi, ringan kepala, Lidah bercabang, telinga kuali, mata keranjang, dan anak mata. Lihat contoh, hati batu bermakna seseorang yang degil dan tidak mahu mendengar kata.

7. Simpulan bahasa yang berkaitan dengan haiwan.
Saudara anjing, akal kancil, ajak-ajak ayam, biawak hidup, buaya darat, darah ikan dan sebagainya. Lihat contoh, akal kancil menggambarkan seseorang yang sangat pandai.

8. Simpulan bahasa yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan.
Durian runtuh, delima merekah, sirih kuning, diam ubi, tangkai jering dan sebagainya. Sebagai contoh, tangkai jering memberi gambaran seseorang yang sangat kedekut.

9. Simpulan bahasa yang tidak termasuk dalam mana-mana kategori.
Jadi abu, cincin tanda, hujan panas, putih mata, serkap jarang, kurang ajar, buah mulut, buku lima dan lain-lain lagi. Contohnya, buah mulut bermaksud sesuatu yang menjadi percakapan orang lain.


JENIS-JENIS SIMPULAN BAHASA

1. Simpulan bahasa yang mempunyai dua makna. Contohnya:
(a) ada angin:
·         mempunyai kemahuan atau keinginan untuk mendapatkan sesuatu.
·         sikap atau perasaan seseorang yang suka meninggi diri.
(b) anak buah:
·         orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua seperti ketua pejabat atau penghulu.
·         anak saudara.
(c) langgar bahasa:
·         bercakap dengan menggunakan bahasa yang kasar.
·         tingkah laku atau kelakuan yang tidak sopan atau melanggar adat.

2. Simpulan bahasa yang berlainan tetapi mempunyai makna yang sama. Contohnya:
Seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu.
muka talam, muka tebal, dan muka tembok.
Seseorang yang sudah lanjut usianya tetapi perangai tidak senonoh atau jahat.
tua keladi, tua kutuk, dan tua lengkuas.

3. Simpulan bahasa yang memaparkan kelakuan dan perangai seseorang seperti ”Tua
keladi” yang bermaksud seorang lelaki tua yang tidak sedar diri dengan
berkelakuan miang dan ingin mengorat wanita lain. Walhal diri sendiri sudah tua. Contoh lain seperti ”Berat tulang” iaitu orang yang pemalas.

4. Simpulan bahasa jenis aktiviti pula menunjukkan aktiviti ataupun rancangan seseorang. Contohnya ”Makan angin” yang bermaksud seseorang yang ingin melancong ke luar negara.

5. Simpulan bahasa jenis kebolehan pula digunakan bagi menunjukkan kepandaian dan ketidakpandaian seseorang. Contohnya, ”Ayam tambatan” bagi mengambarkan seseorang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan. ”Kaki bangku” pula menunjukkan seseorang yang tidak pandai bermain bola.

6. Adat istiadat seperti ”Anak emas” yang bermaksud anak yang disayangi ibubapa melebihi anak-anak yang lain.

7. Budaya hidup seperti cara hidup yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat seperti ”Ajak-ajak ayam” yang bermaksud seseorang yang tidak ikhlas memperlawa orang lain.


Penggunaan simpulan bahasa dalam ayat adalah seperti berikut:


1. Aminah menjadi anak emas keluarganya kerana dia rajin belajar.

2."Jangan berkaki ayam ketika bermain, nanti terpijak kaca," kata ayah

3. Minggu lepas kami sekeluarga makan angin ke   Langkawi

4. Dia ringan tulang sebab itu dia disukai ramai.


Slaid Etika Penggunaan Internet

Etika Penggunaan Internet


Penggunaan Internet dengan cara yang tidak bertanggunjawab adalah dianggap sebagai pelanggaran tatacara yang boleh mengancam keselamatan, keutuhan dan kerahsiaan maklumat, melemahkan sistem ICT dan pengurusan rekod elektronik, menggangu sistem rangkaian ICT dan merosakkan imej Perkhidmatan Awam. Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap pengguna internet mengetahui etika dan tatacara penggunaan internet dengan betul bagi menjamin keselamatan sistem ICT tersebut.