Monday 27 February 2012

Simpulan Bahasa

CIRI-CIRI SIMPULAN BAHASA

1. Terbentuk daripada penggunaan kata nama am. Contohnya:
anak buah, buah tangan, dan lipas kudung.
Anak, buah, dan lipas masing-masingnya sebagai kata nama am.

2. Terbentuk daripada penggunaan kata kerja. Contohnya:
ajak-ajak ayam, buat bodoh, dan pasang telinga.
Ajak, buat, dan pasang masing-masingnya sebagai kata kerja.

3. Terbentuk daripada penggunaan kata adjektif. Contohnya:
besar kepala, bodoh sepat, dan kecil hati.
Besar, bodoh, dan kecil masing-masingnya sebagai kata adjektif.

4. Terbentuk daripada penggunaan kata nama khas. Contohnya:
Abu Jahal, Mat Jenin, dan Pak Kaduk.
Semua ini sebagai kata nama khas.

5. Terbentuk daripada nilai kepercayaan. Contohnya:
air pinang, batu buyung, dan makan bulan.
Semua ini ada kaitan dengan kepercayaan orang Melayu.

6. Simpulan Bahasa yang berkaitan dengan tubuh badan. Contohnya:
Gigi air, kepala santan, Hati batu, kecil hati, Kaki judi, ringan kepala, Lidah bercabang, telinga kuali, mata keranjang, dan anak mata. Lihat contoh, hati batu bermakna seseorang yang degil dan tidak mahu mendengar kata.

7. Simpulan bahasa yang berkaitan dengan haiwan.
Saudara anjing, akal kancil, ajak-ajak ayam, biawak hidup, buaya darat, darah ikan dan sebagainya. Lihat contoh, akal kancil menggambarkan seseorang yang sangat pandai.

8. Simpulan bahasa yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan.
Durian runtuh, delima merekah, sirih kuning, diam ubi, tangkai jering dan sebagainya. Sebagai contoh, tangkai jering memberi gambaran seseorang yang sangat kedekut.

9. Simpulan bahasa yang tidak termasuk dalam mana-mana kategori.
Jadi abu, cincin tanda, hujan panas, putih mata, serkap jarang, kurang ajar, buah mulut, buku lima dan lain-lain lagi. Contohnya, buah mulut bermaksud sesuatu yang menjadi percakapan orang lain.


JENIS-JENIS SIMPULAN BAHASA

1. Simpulan bahasa yang mempunyai dua makna. Contohnya:
(a) ada angin:
·         mempunyai kemahuan atau keinginan untuk mendapatkan sesuatu.
·         sikap atau perasaan seseorang yang suka meninggi diri.
(b) anak buah:
·         orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua seperti ketua pejabat atau penghulu.
·         anak saudara.
(c) langgar bahasa:
·         bercakap dengan menggunakan bahasa yang kasar.
·         tingkah laku atau kelakuan yang tidak sopan atau melanggar adat.

2. Simpulan bahasa yang berlainan tetapi mempunyai makna yang sama. Contohnya:
Seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu.
muka talam, muka tebal, dan muka tembok.
Seseorang yang sudah lanjut usianya tetapi perangai tidak senonoh atau jahat.
tua keladi, tua kutuk, dan tua lengkuas.

3. Simpulan bahasa yang memaparkan kelakuan dan perangai seseorang seperti ”Tua
keladi” yang bermaksud seorang lelaki tua yang tidak sedar diri dengan
berkelakuan miang dan ingin mengorat wanita lain. Walhal diri sendiri sudah tua. Contoh lain seperti ”Berat tulang” iaitu orang yang pemalas.

4. Simpulan bahasa jenis aktiviti pula menunjukkan aktiviti ataupun rancangan seseorang. Contohnya ”Makan angin” yang bermaksud seseorang yang ingin melancong ke luar negara.

5. Simpulan bahasa jenis kebolehan pula digunakan bagi menunjukkan kepandaian dan ketidakpandaian seseorang. Contohnya, ”Ayam tambatan” bagi mengambarkan seseorang yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan. ”Kaki bangku” pula menunjukkan seseorang yang tidak pandai bermain bola.

6. Adat istiadat seperti ”Anak emas” yang bermaksud anak yang disayangi ibubapa melebihi anak-anak yang lain.

7. Budaya hidup seperti cara hidup yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat seperti ”Ajak-ajak ayam” yang bermaksud seseorang yang tidak ikhlas memperlawa orang lain.


Penggunaan simpulan bahasa dalam ayat adalah seperti berikut:


1. Aminah menjadi anak emas keluarganya kerana dia rajin belajar.

2."Jangan berkaki ayam ketika bermain, nanti terpijak kaca," kata ayah

3. Minggu lepas kami sekeluarga makan angin ke   Langkawi

4. Dia ringan tulang sebab itu dia disukai ramai.


No comments:

Post a Comment